LAHAD DATU: Orang ramai khususnya penduduk di sekitar Kampung Telisai Tungku, Pulau Sakar dan Teluk Darvel diminta tidak panik apabila melihat pergerakan anggota keselamatan, kenderaan kecemasan serta operasi mencari dan menyelamat pada 4 November ini.
Ini kerana semua aktiviti berkenaan adalah sebahagian daripada Program Latih Amal Bencana Tsunami (TTX & FTX) Zon Lahad Datu yang dijadualkan berlangsung pada Rabu depan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, latihan itu bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menghadapi kemungkinan bencana tsunami.
Katanya, latihan berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkemas komunikasi, penyelarasan operasi serta kerjasama antara agensi keselamatan dan penyelamat.
“Pergerakan anggota, kenderaan kecemasan serta aktiviti mencari dan menyelamat di lokasi terbabit hanyalah sebahagian daripada simulasi latihan yang dirancang.
“Aktiviti ini tidak menandakan berlakunya kejadian tsunami sebenar. Masyarakat diminta kekal tenang dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh menimbulkan kebimbangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dzulbaharin berkata, beberapa jalan dan kawasan yang terbabit dengan latihan berkenaan akan ditutup sementara bagi memastikan keselamatan orang ramai serta kelancaran operasi.
“Bagaimanapun, perincian lokasi dan tempoh penutupan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.
“Orang ramai turut dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif dan mematuhi arahan petugas di lokasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan berita palsu, spekulasi atau rakaman latihan yang disertakan dengan maklumat tidak tepat.
“Penyebaran maklumat mengelirukan dikhuatiri boleh menimbulkan keresahan dan menjejaskan ketenteraman awam.
“Sebarang maklumat berkaitan latihan hendaklah disemak melalui saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dikongsi kepada orang ramai,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak memberikan kerjasama bagi memastikan latihan berkenaan berjalan lancar, selamat dan teratur. – Info X