TERENGGANU: Lebih 200 pelajar Sabah yang menuntut di Terengganu disantuni dalam Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah Zon Pantai Timur 2026, hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program itu membabitkan pelajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menurutnya, program berkenaan diadakan bagi menyantuni serta mendengar sendiri permasalahan dihadapi pelajar Sabah selain memberi pendedahan mengenai peluang penajaan dan bantuan yang disediakan kerajaan negeri.
“Kita turun padang bertemu mahasiswa dan mahasiswi, berbincang serta beramah mesra seperti yang diamanahkan oleh Ketua Menteri Sabah.
“Dalam masa sama, kita turut mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan khususnya daripada golongan B40 dan e-Kasih untuk diberi keutamaan dalam pemberian biasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program berkenaan bersama Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainuddin serta Pengarah Biasiswa Kerajaan Negeri.
Mohd Arifin berkata, selain biasiswa kerajaan negeri, beberapa agensi lain termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Yayasan Sabah dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah turut memainkan peranan membantu pelajar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan agama.
Katanya, kerajaan negeri komited memastikan pelajar Sabah yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan kewangan.

“Yang penting, kita mahu pastikan anak-anak Sabah ini mendapat bantuan sewajarnya khususnya biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan. – Info X