Search

Lebih 3,000 ketua isi rumah sertai program Kebun Dapur

October 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih 3,000 ketua isi rumah di luar bandar dan pedalaman Sabah mengusahakan Kebun Dapur di perkarangan rumah masing-masing menerusi inisiatif Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), setakat ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata perkembangan itu menunjukkan sambutan positif terhadap program berkenaan yang turut melahirkan usahawan kecil dalam kalangan peserta.

Beliau berkata, selepas 10 bulan pelaksanaannya, ramai ibu dan ketua isi rumah bukan saja mengusahakan tanaman untuk kegunaan sendiri, malah mula menjual hasil tanaman kepada jiran sehingga permintaan semakin meningkat.

“Malahan, ada yang sudah mengusahakan tanaman di kawasan seluas beberapa ekar hasil daripada pengalaman pertama mereka menerusi program Kebun Dapur.

“Setakat ini, statistik yang saya terima daripada Jabatan Pertanian Sabah selaku penyelaras program menunjukkan lebih 3,000 ketua isi rumah di luar bandar dan kawasan pedalaman sudah mengusahakan Kebun Dapur di perkarangan rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Agro-Forum 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.

Jamawi berkata penyertaan 13 mentor Kebun Dapur dalam forum berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan muda sektor pertanian untuk mengetengahkan produk masing-masing menerusi pameran dan jualan.

Katanya, usaha itu perlu diperluaskan supaya lebih ramai anak muda yang berjaya dalam bidang pertanian dapat diketengahkan, selain dibantu dari segi pemasaran dan peluang kerjasama.

Beliau berkata, penyertaan kira-kira 13 negara dalam program Big Sabah Sale di SICC turut membuka ruang kepada mentor berkenaan untuk mengembangkan jaringan perniagaan dan kerjasama dengan peserta antarabangsa serta pengunjung.

“Kita bukan mahu setakat 13 mentor ini sahaja. Pada masa akan datang, kita mahu kalau boleh berpuluh-puluh atau beratus-ratus lagi usahawan yang berjaya dalam bidang pertanian dapat diketengahkan dan dibantu dari segi pemasaran,” katanya.

Sementara itu, Jamawi berkata inisiatif Kebun Dapur Sabah turut mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang melancarkan program Kebun Kendiri di peringkat Persekutuan bulan lalu.

Katanya, konsep dan pelaksanaan program berkenaan hampir sama dengan inisiatif yang dilaksanakan di Sabah.

Beliau berkata, program Kebun Dapur bukan saja membantu meningkatkan keterjaminan makanan, malah mengurangkan kebergantungan kepada makanan import serta meningkatkan kadar sara diri (SSL) bagi produk pertanian utama yang masih bergantung kepada bekalan luar negara. – Info X