TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didapati membawa 100 kotak lobak merah tanpa kebenaran menerusi Op Pluto Timur dan Op Tiris di Muara Sungai Aji Kuning, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya bertindak menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas barang yang dibawa.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bertindak sebagai juragan bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 100 buah kotak mengandungi lobak merah dipercayai cuba dibawa masuk ke daerah ini.
“Jurangan terbabit bagaimanapun gagal mengisytihar muatan yang dibawa dan melanggar syarat sah lesen bot penumpang,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Dalam kejadian berasingan, bot peronda APMM mengesan sebuah lagi bot pam yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Perairan Wallace Bay pada jam 11.40 pagi.
“Hasil pemeriksaan, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun didapati telah mengendalikan bot berkenaan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati bot berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan tidak mempunyai lesen bot yang berdaftar,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek dan bot berserta muatan di bawa ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM.

“Semua barang termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM45,000.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Imigresen 1956/63 dan Akta Kastam 1967,” katanya.
Shahrizan menegaskan kepada komuniti maritim setempat supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi terhadap semua pesalah.
“APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Timur Sabah,” katanya. – Info X