RANAU: Seorang lelaki berusia 19 tahun dipukul dan diugut bunuh oleh seorang lelaki bersenjatakan buku lima dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang, di sini, pada Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai penimbang sawit dikatakan diserang secara tiba-tiba ketika membeli barangan dapur di kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.56 petang semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa terserempak dengan suspek sebelum lelaki terbabit tiba-tiba memarahinya tanpa sebab.
“Suspek kemudian mengeluarkan buku lima berwarna keemasan dan mengugut mangsa dengan berkata, ‘kau mau ini, lama sudah saya tidak kasi mati orang, kau mau mati ka’.
“Selepas itu, suspek menyimpan semula buku lima berkenaan sebelum bertindak menumbuk dan menendang mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami luka di bahagian bibir selain sakit di bahagian bahu kiri dan belakang badan akibat dipukul.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
“Polis kini sedang mengesan dan memburu suspek bagi membantu siasatan selain mendapatkan saksi bebas yang melihat kejadian.
“Mangsa juga sudah diberikan borang Pol.59 untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Ranau,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 34 saat memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar dipukul di hadapan sebuah kedai dipercayai berlaku di Ranau. – Info X