TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyerang seorang individu menggunakan gelas kaca di sebuah kafe di Kubota, di sini, pada 17 Jun lalu.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa sedang minum bersama rakannya dan secara tiba-tiba dipukul di bahagian kepala oleh suspek menggunakan gelas kaca.
Mangsa berusia 45 tahun yang luka di bahagian kepala kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau berjaya menahan suspek terbabit.
“Suspek berusia 45 tahun ditahan di kawasan Jalan St Patrick, pada 3.45 petang semalam dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya.
Sementara itu, Jasmin menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan ganas yang mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai. – Info X