PAPAR: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam gaung sebelum terbakar di Jalan Bukit Kimanis, berhampiran Taman Banjaran Crocker, di sini, pagi tadi.
Kejadian terbabit menyebabkan mangsa berusia 49 tahun, yang memandu Proton Saga FLX cedera pada lengan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.35 pagi.
Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa dalam perjalanan menaiki Proton Saga FLX sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam gaung.
“Kereta dipandu mangsa kemudian terbakar dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari jentera.
“Api berjaya dikawal jam 8.25 pagi dan kejadian menyebabkan mangsa cedera di lengan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke hospital menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada unsur bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan jam 8.30 pagi,” katanya. – Info X