Search

Lelaki cuba seludup minyak masak diberkas

March 15, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang daripada tiga lelaki dipercayai cuba menyeludup minyak masak ke negara jiran, semalam.

Suspek berusia 40 tahun ditahan bersama 35 kotak minyak masak paket satu kilogram di kawasan pesisir pantai Kampung Takun, Tungku, di sini, jam 10.30 malam.

Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman berkata, PPM Lahad Datu yang membuat risikan dan pemantauan di kawasan pantai berkenaan mengesan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan berdekatan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max.

Katanya, bersebelahan dengan kenderaan itu didapati longgokan kotak minyak masak di atas tanah.

“Apabila pasukan serbuan menghampiri ke kawasan itu, tiga lelaki bertindak melarikan diri.

“Pasukan serbuan kemudian mengejar dan berjaya menahan seorang daripada tiga lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dijalankan menemui longgokan minyak masak berjumlah 35 kotak berisi 595 bungkusan satu kilogram di atas tanah berdekatan dengan kenderaan.

“Hasil pemeriksaan suspek gagal mengemukakan apa-apa dokumen pengesahan pemilikan barang-barang bersubsidi.

“Semua minyak masak itu disyaki akan diseleweng atau diseludup ke negara jiran,” katanya.

Katanya lagi, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM101,487.50

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke markas operasi PPM Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X