Search

Lelaki dalam senarai dikehendaki berkaitan kes peras ugut ditahan

May 22, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki yang tersenarai sebagai ‘Orang Dikehendaki’ dan terbabit dengan kes peras ugut terhadap orang awam, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa diugut oleh suspek menerusi panggilan telefon.

Katanya, suspek menuduh mangsa mengganggu perniagaannya dan mengugut akan memancung kepala mangsa.

“Oleh kerana takut akan ugutan itu, mangsa kemudiannya telah memasukkan sejumlah wang bernilai RM3,000 ke dalam sebuah akaun atas penama perniagaan.

“Tidak lama kemudian, suspek sekali lagi menghubungi mangsa untuk meminta wang sekitar RM1,500 bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, mangsa yang menyedari dirinya tertipu terus tampil ke balai polis untuk membuat membuat laporan.

“Atas maklumat awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau berjaya menahan seorang lelaki berusia 39 tahun untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara yang boleh mencapai sepuluh tahun, atau denda, atau rotan, atau mana-mana gabungan hukuman tersebut,” katanya,

Jasmin berkata, semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek juga pernah disabitkan dengan kesalahan yang sama ‘Wanted Person’ di negeri lain. – Info X