SANDAKAN: Polis masih menyiasat motif sebenar seorang lelaki yang memanjat bumbung bangunan Flat Sejati, di sini, sejak tiga hari lalu.
Lelaki berusia 39 tahun terbabit berjaya dipujuk dan dibawa turun dalam keadaan selamat kira-kira jam 1 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sesi memujuk lelaki berkenaan terpaksa dijalankan sejak tiga hari lalu.
Katanya, ia dilakukan hasil kerjasama polis dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak Hospital Duchess Of Kent.
“Lelaki terbabit berjaya dibawa turun tanpa sebarang kecederaan atau kejadian tidak diingini berlaku sama ada memmbabitkan mangsa atau petugas pihak berkuasa.
“Mangsa sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut termasuk keadaan kesihatan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Fuad berkata, setakat ini, punca mangsa melakukan tindakan sedemikian masih dalam siasatan dan pihak keluarga mangsa juga turut membantu di lokasi kejadian.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam di sekitar kawasan in yang juga banyak memberi kerjasama sepanjang insiden ini.
“Masyarakat terutamanya di kawasan perumahan berkenaan banyak memberi bantuan dan juga mematuhi arahan daripada pihak pasukan keselamatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa menggerakkan operasi memujuk lelaki yang berada di atas bumbung Flat Sejati dengan video mengenainya tular di media sosial. – Info X