Search

Lelaki didakwa terima rasuah RM150,000 untuk bantu dapatkan projek

February 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM150,000 sebagai ganjaran membantu kontraktor mendapatkan projek pembaikan sekolah pada 2019.

Tertuduh, Sidu Edin, 58, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Jason Juga selepas dituduh melakukan perbuatan berkenaan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Sidu yang bekerja sendiri berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menerima wang sebanyak RM150,000 daripada seorang kontraktor, Husni Andi Panusureng sebagai balasan mendapatkan projek pembaikan sebuah sekolah di Beluran pada 2019.

Ia membabitkan projek pembaikan kerja-kerja darurat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan Sugut yang bernilai RM1.5 juta.

Siasatan terhadap dakwaan itu dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan RM3,000 sebagai deposit dan seorang penjamin beralamat tetap.

Tertuduh turut diperintah melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan dilarang mengganggu saksi kes, manakala pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala peguam Mohd Fadzri Azham mewakili tertuduh.Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 April depan. – Info X