TUARAN: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas hanya bot miliknya sahaja ditemui di muara Sungai Serusup dalam keadaan rosak, di sini.
Mangsa, Husaini Saidin, 34, dipercayai keluar memukat seorang diri sekitar jam 4.30 pagi Sabtu lalu namun tidak pulang hingga menimbulkan kebimbangan keluarga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan dari pemanggil, bahawa abangnya belum pulang dari aktiviti memukat ikan di kawasan muara sungai berkenaan, pada jam 1.35 tengah hari.
Katanya, pemanggil bersama ahli keluarga dan penduduk kampung berusaha mencari mangsa kerana risau dengan keadannya, memandangkan cuaca yang bergelora serta angin kencang.
“Keluarga dan penduduk kampung hanya menemui bot mangsa terdampar di tebing muara sungai dalam keadaan rosak.
“Pemanggil telah membuat laporan polis hari ini dan maklum kepada bomba untuk mohon bantuan mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, lapan anggota dan sebuah jentera bersama Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketua operasi memaklumkan, radius pencarian meliputi 15 kilometer di sepanjang pesisir pantai dengan bantuan penduduk kampung menggunakan dua bot bagi pencarian di pesisir pantai dan darat.
“Operasi ditangguhkan kira-kira jam 6 petang tadi,” katanya. – Info X