KINABATANGAN: Seorang lelaki warga Filipina dilaporkan hilang di kawasan ladang sawit di Ladang Syarimo Lima, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 21 tahun dikatakan tidak pulang ke rumah sejak semalam, ketika meracun rumput di kawasan ladang di lokasi mangsa hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu dikenali sebagai Faizal, pada 11.19 pagi.
Susulan laporan itu, katanya sepasukan lima anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pekerja ladang berkenaan.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguh pada jam 5.30 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian mangsa akan disambung pada esok pagi.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X