Search

Lelaki dikhuatiri lemas, bot ditemui tanpa pengemudi

August 22, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila botnya ditemui tanpa pengemudi di sungai Kampung Bangkalalak, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Boy Abdullah, 20, dikatakan menyeberangi sungai menggunakan bot untuk menghantar barang.

Namun pada jam 4 petang, bot mangsa ditemui tanpa pengemudi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.24 malam.

Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR dijalankan menyelusuri tebing sungai di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa belum ditemui dan operasi SAR disambung pada pagi ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X