Search

Lelaki dikhuatiri lemas di perairan Pulau Balambangan

October 10, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Pulau Balambangan, di sini.

Mangsa warga Filipina berusia 23 tahun disedari hilang pada 8 Oktober lalu sebelum laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba, Ishak Jabas berkata, berdasarkan laporan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, pada jam 8.05 pagi.

“Berdasarkan kenyataan awal pengadu, mangsa disedari hilang pada 8 Oktober lalu ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan berkenaan.

Pasukan keselamatan menjalankan operasi mencari dan menyelamat lelaki hilang di perairan Pulau Balambangan, Kudat. – Foto/Bomba

“Pasukan bomba kemudian bergerak ke IPD Kudat untuk mendapatkan maklumat.

“Seterusnya ke lokasi mangsa dikhuatiri lemas menaiki bot Pasukan Polis Marin (PPM) untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa belum ditemui dan pencarian di laut ditunda berikutan cuaca hujan dan laut bergelora.

“Maklumat berkenaan kejadian ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X