Search

Lelaki ditahan curi komputer riba

July 27, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Gelagat mencurigakan seorang lelaki yang berjalan sambil membawa beg kertas membongkar kegiatan jenayahnya apabila dia ditahan polis kerana disyaki mencuri komputer riba, kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan berlaku.

Suspek berusia 34 tahun itu dicekup dalam Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) di kawasan tempat letak kereta Jalan SK Gabungan, di sini, kira-kira jam 6.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan rondaan dari Balai Polis Tawau menerusi Op Kesan, hasil maklumat awam.

“Ketika dihampiri, suspek dilihat memegang sebuah beg kertas dan cuba mengelak daripada didekati anggota bertugas.

“Pemeriksaan ke atas beg itu menemui sebuah beg komputer riba berisi peranti berjenama yang dipercayai telah dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, ketika ditahan suspek bertindak agresif dan enggan memberikan kerjasama, menyebabkan polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum untuk memastikan tangkapan dapat dilakukan dengan selamat.

Katanya, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua anggota dan pegawai yang bertindak cekap serta pantas sehingga berjaya menyelesaikan kes dalam masa singkat dan memastikan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya. – Info X