RANAU: Seorang lelaki tempatan diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan dan penyimpanan air ketum dalam serbuan di tepi jalan Kampung Sinisian, Kundasang, di sini, hari ini.
Dalam operasi kira-kira jam 1.30 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sebuah beg hitam diletakkan di bahagian hadapan tempat duduk penumpang.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui lima botol air mineral berkapasiti 1.5 liter setiap satu yang mengandungi cecair disyaki air ketum.
“Anggaran harga pasaran bagi setiap botol ialah RM20,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, lelaki berusia 27 tahun yang berada di dalam kenderaan itu terus ditahan dan semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau.
Mursalin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan berkaitan ketum bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di daerah Ranau terus terpelihara.
Operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ranau, Inspektor Abdul Fatah Qasim. – Info X