Search

Lelaki ditahan selepas dikesan terima bungkusan berisi ganja melalui Pos Laju

October 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Helah seorang lelaki tempatan menggunakan perkhidmatan pos laju untuk menerima bekalan ganja terbongkar apabila dia ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah di Taman Kingfisher Sulaman, di sini, hari ini.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas bungkusan pos laju yang diterimanya disahkan mengandungi ganja seberat 24.17 gram.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia yang terlebih dahulu mengesan bungkusan mencurigakan mengandungi bahan disyaki dadah.

Katanya, hasil risikan lanjut membawa kepada serbuan di rumah suspek di Taman Kingfisher Sulaman kira-kira jam 11.30 pagi.

“Ketika serbuan, pintu rumah didapati terbuka dan selepas memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa, polis mendapati seorang lelaki berada di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan parcel yang diterima adalah milik suspek sendiri dan dia mengaku memesan ganja berkenaan dari Kuala Lumpur dengan harga RM200,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan turut mendedahkan suspek sudah lapan kali membuat pesanan sama sebelum ini menerusi akaun aplikasi Telegram.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC, manakala semakan lanjut menunjukkan dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah atau dadah.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Oppo Reno5 milik suspek yang dipercayai digunakan untuk berurusan pembelian bahan terlarang itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata JSJN Sabah sentiasa bersiap sedia menghadapi pelbagai taktik dan modus operandi sindiket yang cuba membawa masuk dadah ke negeri ini.

Katanya, kerjasama erat dengan pelbagai agensi penguat kuasa serta maklumat disalurkan masyarakat banyak membantu JSJN Sabah dalam menangani cabaran seumpama itu. – Info X