KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan seorang lelaki selepas dipercayai menyimpan seekor anak beruang madu di sebuah lokasi tarikan awam untuk tujuan tontonan, dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan semalam.
Tindakan itu diambil susulan aduan orang awam pada 11 Februari lalu berhubung satu video yang tular di Facebook memaparkan haiwan dilindungi berkenaan berada di premis terbabit.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Soffian Abu Bakar berkata, operasi dijalankan pada 12 Februari di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997)
“Hasil serbuan mendapati seekor anak beruang madu disimpan di dalam premis berkenaan bagi tujuan tontonan awam.
“Seorang lelaki yang disyaki pemilik atau pengurus premis ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam operasi berasingan di Lahad Datu, jabatan itu turut menahan seorang lelaki di sebuah premis kedai makan kerana disyaki memiliki tiga taring beruang madu yang dijadikan perhiasan.
Katanya, semua barang kes dirampas dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beruang madu atau Helarctos malayanus diklasifikasikan sebagai spesies Dilindungi Sepenuhnya di bawah Jadual 1 EPHL 1997.
Tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada orang awam untuk memburu, memiliki, menyimpan atau mempamerkan spesies berkenaan.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta hukuman penjara antara satu hingga lima tahun.
Jabatan Hidupan Liar Sabah menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan hidupan liar dan merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung jenayah berkenaan.
Orang ramai yang berhadapan situasi membabitkan spesies di bawah Jadual 1 seperti beruang madu dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak jabatan atau menyerahkan haiwan berkenaan bagi tujuan penyelamatan dan pengurusan selanjutnya. – Info X