TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas memukul kakaknya hingga cedera dan lebam di pipi dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Batu 15, Jalan Apas Balung, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua beradik terbabit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pertengkaran bermula apabila mereka berbalah mengenai isu peribadi namun bertukar menjadi kekasaran fizikal.
“Mangsa berusia 31 tahun mengalami cedera bengkak dan lebam di bahagian pipi akibat ditumbuk oleh adiknya iaitu suspek.
“Susulan itu, pada hari yang sama jam 9.45 malam, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, siasatan masih diteruskan dan ini adalah kes yang membabitkan konflik keluarga dan polis sedang meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri ketika menghadapi tekanan atau pertengkaran, sebaliknya mendapatkan bantuan atau kaunseling,” katanya. – Info X