Search

Lelaki ditemui maut di tepi bangunan

October 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas sebuah pusat beli-belah di Jalan Coastal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.54 pagi itu, mangsa berusia 28 itu ditemui terbaring di kawasan luar bangunan berkenaan dengan kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi bangunan berkenaan.

“Pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 12.27 tengah hari.

“Sepasukan pegawai penyiasat bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HQE I untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya. – Info X