Search

Lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta

December 2, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan di kawasan Sri Taman, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 37 tahun ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.39 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, didapati mangsa lelaki dalam keadaan tidak sedar diri di dalam kereta jenis Nissan Livina yang terkunci.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuka pintu kenderaan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa. – Foto/Bomba

Menurutnya, selepas pemeriksaan dijalankan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam. 9.57 pagi,” katanya. – Info X