Search

Lelaki ditemui meninggal dunia di garaj rumah di Penampang

February 4, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Penduduk Kampung Nosoob Baru di sini, dikejutkan dengan penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di garaj hadapan sebuah rumah, pagi tadi, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditemui terbaring di kawasan garaj rumah berkenaan sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, jam 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, berdasarkan pemeriksaan awal di lokasi mendapati tiada sebarang kesan pergelutan, pecah masuk ataupun unsur jenayah lain.

“Pihak polis juga tidak menemui sebarang kecederaan luaran yang mencurigakan pada tubuh mangsa.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di garaj sebuah rumah di Kampung Nosoob Baru, Penampang.

Menurutnya, pihak polis akan menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan rasmi proses bedah siasat,” katanya.

Sehubungan itu, Sammy menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Katanya, polis juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan. – Info X