KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh rumah di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, petang tadi.
Mangsa, Steve Josey Mardona, 39, ditemui rentung berdekatan dengan stor dipercayai cuba memadam api ketika kebakaran berlaku, 4.50 petang.
Difahamkan mangsa sedar ketika kebakaran berlaku dan sudah keluar dari rumah, namun masuk kembali dipercayai untuk memadam api.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Lizalman Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.58 petang.
Katanya, seramai 30 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan dibantu Kota Kinabalu dan Penampang bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, operasi pemadaman dijalankan dengan sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.
“Terdapat seorang mangsa dilaporkan cedera akibat terjatuh ketika terjun dari rumah untuk menyelamatkan diri dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Menurutnya, kebakaran membabitkan lapan rumah dan tujuh daripadanya terbakar sepenuhnya.
“Operasi dilaporkan terkawal pada jam 6.08 petang dan pada jam 8.20 malam terdapat mayat seorang lelaki ditemui rentung berdekatan dengan stor rumah.
“Mayat mangsa seterusnya dibawa keluar dari lokasi kebakaran dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerja-kerja memadam sisa kebakaran masih dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Setakat ini punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.
Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity. – Info X