KOTA MARUDU: Seorang lelaki berusia 56 tahun ditemui meninggal dunia di dalam kereta jenis Toyota Vios yang terkunci di Pekan Goshen, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, pasukan bomba menerima panggilan daripada polis jam 5.01 petang yang memohon bantuan membuka pintu kenderaan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, sepasukan anggota dengan kekuatan 10 anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta sebelum menemui seorang lelaki di dalamnya.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.40 petang selepas memastikan tiada lagi risiko lain di lokasi,” katanya. – Info X