Lelaki Filipina dipenjara 10 tahun kerana amang seksual anak jiran

November 23, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya yang berusia 10 tahun, tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Suhailla Selag terhadap tertuduh berusia 53 tahun selepas menerima pengakuan salahnya terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa mulai tarikh sabitan hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual di sebuah pondok di Felda Sahabat Desa Kencana, kira-kira jam 10 pagi, 29 Julai 2025.

Mangsa yang juga jiran tertuduh berusia 10 tahun ketika kejadian.

Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Desa Kencana pada 29 Ogos 2025 selepas mengesyaki anak perempuannya menjadi mangsa perbuatan seksual tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika prosiding merayu hukuman diringankan atas alasan sudah lanjut usia, selain mendakwa menyesali perbuatannya dan sudah bertaubat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta kepentingan awam, khususnya dalam melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh penahanan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh juga diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara. – Info X