KOTA KINABALU: Seorang lelaki terselamat selepas kereta dipandunya terbabas sebelum hampir tenggelam dalam parit di Jalan Lintas berhampiran City Mall, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, mangsa lelaki berusia 30-an terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam kejadiram kira-kira jam 3.30 pagi itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.43 pagi.
“Sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang terbabas sendiri sehingga terjatuh ke dalam parit.
“Tindakan pasukan bomba yang membuat pemeriksaan di sekitar lokasi mendapati seorang mangsa terlibat berjaya keluar sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes seterusnya diambil alih oleh pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.14 pagi. – Info X