Search

Lelaki hilang di kebun, operasi SAR hari kedua digerakkan

March 12, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika berada di kebun di Kampung Paka, Kiulu, di sini, sejak Selasa lalu masih belum ditemui setakat hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Jantannius Poulus, 45, dilaporkan hilang ketika berada di kebun bersama rakannya sebelum disedari tidak berada di lokasi ketika rakannya kembali ke pondok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam, Rabu.

Menurutnya, sepasukan enam anggota dari BBP Tuaran bersama Unit K9 digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR.

“Menurut pengadu, mangsa kali terakhir dilihat kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 10 Mac lalu ketika sedang berehat di sebuah pondok di kawasan kebun berkenaan.

“Namun apabila pengadu kembali semula ke pondok itu, mangsa didapati sudah tiada dan usaha mencarinya di sekitar kawasan kebun gagal menemui sebarang petunjuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan operasi yang menyertai SAR bagi mencari mangsa dilaporkan hilang di Kiulu, Tuaran.

Beliau berkata, lokasi kebun yang dipercayai tempat mangsa hilang terletak kira-kira empat kilometer dari pusat kawalan bomba.

Menurutnya, operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 10.50 malam sebelum disambung semula hari ini.

“Operasi SAR hari kedua bermula jam 10.36 pagi selepas taklimat pembahagian sektor carian dilakukan.

“Pasukan penyelamat menjalankan pencarian di sepanjang kawasan sungai serta sekitar pondok lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Katanya, operasi turut membabitkan Unit K9 bersama seekor anjing pengesan selain bantuan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan dengan pemantauan di kawasan sekitar,” katanya. – Info X