KINABATANGAN: Pencarian seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti memancing bersama rakannya di Sungai Milan Kampung Bulot, Tongod, Sabtu lalu berakhir apabila ditemukan lemas, pagi tadi.
Reczelco Aslan, 24, ditemukan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan penduduk kampung di sungai tempat mangsa dilaporkan hilang, kira-kira jam 7 pagi.
Difahamkan, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika mahu mengambil botol airnya, sebelum rakannya membuat panggilan kecemasan mengenai kehilangannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.25 petang, Ahad lalu.
Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi SAR.
“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam.
“Sebaik tiba, pasukan bomba segera mendapatkan maklumat mangsa terbabit, sebelum operasi SAR dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan SAR menjalankan operasi dengan radius pencarian lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan SAR terpaksa menelusuri hilir sungai menggunakan bot penyelamat bersama dengan agensi lain dan orang awam.
“Mangsa kemudian ditemukan terapung di sungai berkenaan pada hari ketiga SAR dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya.
Nurul Azlan Shah berkata, mayat mangsa terbabit telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.18 pagi,” katanya.
Terdahulu, mangsa Reczelco Aslan dikhuatiri lemas selepas hilang di sungai Kampung Bulot, Tongod pada Ahad lalu.
Mangsa terbabit dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti di sungai berkenaan, sebelum laporan dibuat oleh orang awam. – Info X