Kota Belud: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di Jeti Mantanani, di sini, malam tadi.
Mangsa Yusri Dulpi, 20, dibaham reptilia berkenaan sebelum dibawa masuk ke dalam sungai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.26 malam.

Katanya, hasil maklumat awal daripada saksi, mangsa disambar buaya ketika menjalankan aktiviti memancing.
“Tindakan pasukan bomba mendapati maklumat mangsa dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan jeti.
“Namun gagal menemui mangsa sebelum operasi pencarian ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR bersama agensi penyelamat lain dimulakan pada 6.58 pagi tadi.

“Radius pencarian satu kilometer menyusuri tebing sungai menggunakan bot.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi SAR dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah. – Info X