TAWAU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar memancing dan mencari hasil hutan bersama sepupunya di kawasan hutan Batu 32, Jalan Kalabakan – Maliau Basin, di sini, sejak petang Selasa lalu.
Mangsa, Khairul Saharin, 31, dikatakan hilang selepas berpisah dengan sepupunya ketika dalam perjalanan pulang ke tapak perkemahan selepas aktiviti memancing.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.50 pagi tadi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sepupu mangsa membuat laporan polis pada jam 8.55 malam semalam selepas mangsa gagal pulang ke rumah sejak 14 Oktober lalu.
“Sepupu mangsa cuba menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp namun hanya menerima maklum balas bahawa bateri telefon mangsa hampir habis, sebelum panggilan tidak lagi berjawab selepas itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sepupu mangsa turut melakukan pencarian awal pada hari kejadian tetapi gagal menemui mangsa berikutan cuaca hujan dan keadaan kawasan hutan yang gelap serta berbukit.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama dijalankan membabitkan anggota BBP Tawau, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasukan penyelamat menyusuri denai sejauh kira-kira dua kilometer dari kawasan tempat letak kereta menuju ke Base Camp, melalui kawasan air terjun sebelum mendaki ke puncak bukit dan menuruni ke kawasan sungai sebelum kembali ke titik permulaan,” katanya.
Tambahnya, operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 3 petang selepas mangsa masih belum ditemukan dan akan disambung semula esok pagi. – Info X