LAHAD DATU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dia dipercayai keluar memancing sendirian di perairan Tanjung Labian, di sini, semalam.
Mangsa Jumat Abdul Rahim, 32, dikatakan keluar ke laut pada 5 petang semalam dan disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah sebelum keluarganya menghubungi pihak berkuasa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bergerak ke lokasi kejadian pada 10.16 pagi, selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maklum mohon bantuan.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba bertindak membuka Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bersama agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM).
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dengan kaedah surface di kawasan persisiran Tanjung Labian namun mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya operasi SAR ditangguh pad 5.30 petang dan akan disambung semula esok pagi.
“Operasi SAR disambung pagi esok kerana cuaca yang kurang baik serta laut bergelora. “Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X