Search

Lelaki hilang ketika mendaki Bukit Bendera di Beaufort

November 23, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang lelaki dikuatiri hilang selepas tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki di kawasan Bukit Bendera, di sini, pagi tadi.

Mangsa Irwan Sumatra, 49, dikatakan melakukan aktiviti ‘hiking’ bersama seorang rakannya kira-kira jam 8 pagi untuk ke puncak Bukit Bendera.

Bagaimanapun ketika menuruni bukit, rakannya mendapati mangsa tidak bersamanya lalu mencari di setiap laluan hiking namun tidak menemuinya.

Rakan mangsa kemudian melaporkan kejadian itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Difahamkan, setengah jam sebelum kejadian itu, pasukan bomba diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hasbullah Nenggok baru selesai membuat khidmat masyarakat dengan memasang papan tanda di kawasan laluan ke Bukit Bendera.

Mohammad Hasbullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.34 tengah hari.

Pasukan bomba menjalankan pencarian di laluan ke Bukit Bendera, Beaufort. – Foto/Bomba

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama PDRM bergegas ke lokasi kejadian yang terletak lima kilometer dari balai bomba.

“Setiba di lokasi, operasi pencarian dilakukan di kawasan laluan hiking Bukit Bendera.

“Setakat ini, mangsa belum ditemui operasi pencarian masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Operasi pencarian turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – Info X