KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menyeberangi sungai di Kampung Lebak Engad, di sini ditemukan meninggal dunia selepas hampir dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Mangsa ditemukan orang awam pada jam 6.15 petang, kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk berkata, operasi SAR hari kedua bermula pada jam 8.50 pagi dengan kerjasama beberapa agensi penyelamat.
Katanya, operasi dibahagikan kepada dua kaedah iaitu pencarian di permukaan sungai menggunakan bot penyelamat melalui teknik Water Surface Search serta pencarian darat di sepanjang tebing sungai.
“Mangsa akhirnya ditemukan oleh orang awam pada jam 6.15 petang dalam keadaan meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa sebelum itu dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas ketika menyeberangi sungai pada petang 1 Julai.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 1.18 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Operasi hari pertama dijalankan menggunakan kaedah Surface Rescue dengan pencarian di permukaan dan sepanjang tebing sungai sejauh kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Marudu kemudian menjalankan selaman di lokasi mangsa kali terakhir dilihat dengan radius pencarian sejauh 500 meter,” katanya.
Beliau berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.54 petang.
Operasi membabitkan 19 anggota bomba bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai serta penduduk kampung. – Info X