Search

Lelaki hilang ketika tangkap ikan di sungai

November 25, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang, di sini, hari ini.

Mangsa Noordin Punjuh, 51, dikatakan keluar rumah untuk menangkap ikan di sungai berkenaan, kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah.

Bimbang sesuatu berlaku, adik mangsa ke sungai berkenaan kira-kira jam 8 malam untuk mencari abangnya, namun menemukan jala, beg pinggang, telefon bimbit, selipar, dan baldi dipercayai milik mangsa.

Anggota bomba menjalankan operasi SAR di sekitar sungai berkenaan. – Foto/Bomba

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.28 pagi tadi.

Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapatkan maklumat daripada keluarga mangsa dan menjalankan operasi SAR bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan orang kampung.

“Kita menerima maklumat bahawa keluarga mangsa hanya menyedari kehilangannya setelah dia tidak pulang sehingga waktu petang,” ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba turut menjalankan operasi SAR di sekitar tebing sungai berkenaan. – Foto/Bomba

Menurutnya, setakat ini, mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR masih dijalankan di sekitar sungai berkenaan.

“Pencarian dibuat di sekitar mangsa dikhuatiri hilang dengan radius sejauh lapan Kilometer di sungai berkenaan.

“Maklumat operasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X