Search

Lelaki hilang lepas terjun Sungai Kinabatangan

June 29, 2025

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit, Sukau, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Zulkarnain Yusop, 42, dilaporkan terjun sendiri ke dalam sungai sebelum hilang dari permukaan air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Utoh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.12 pagi.

Katanya, sepasukan empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 60 kilometer dari balai menggunakan pacuan empat roda.

“Menurut pemanggil, mangsa dilihat terjun ke sungai dan tidak timbul semula.

“Pasukan kami kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian permukaan air di kawasan mangsa dipercayai hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR masih diteruskan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X