Search

Lelaki hilang, rakan selamat bot dilanggar di perairan Bum-Bum

July 27, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas tercampak ke laut apabila bot dinaiki bersama rakannya dilanggar sebuah bot lain di perairan berhampiran Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa Balsiti Utumani, 40, dan rakannya Julamdi Abdillah, 30, keluar memancing dari Kampung Halo menuju ke sekitar Pulau Mabul dengan menaiki bot kayu.

Bagaimanapun, bot mereka dilanggar dari arah kanan oleh sebuah bot tidak dikenali dipercayai akibat keadaan gelap, menyebabkan kedua-duanya tercampak ke laut.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Mohd Akhimullah Adan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 6.15 pagi tadi.

“Sepasukan lima anggota bersama sebuah bot aluminium digerakkan ke lokasi sejauh tiga kilometer dari balai dan tiba lima minit kemudian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mangsa Julamdi telah diselamatkan oleh sebuah bot yang kebetulan lalu di tempat kejadian dan dibawa pulang ke rumah di Kampung Halo.

Pasukan bomba melakukan pencarian di sekitar lokasi kejadian di perairan Pulau Bum-Bum, Semporna. – Pix/Bomba

“Julamdi kemudiannya menerima rawatan di Hospital Semporna sekitar jam 8 pagi semalam sebelum dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Akhimullah berkata, operasi SAR dijalankan bersama PDRM di kawasan radius tiga kilometer dari lokasi kejadian dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, mangsa kedua iaitu Balsiti masih belum ditemui dan usaha pencarian sedang giat dijalankan,” katanya. – Info X