KOTA KINABALU: Pencarian seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Pan Borneo dekat Kampung Kawakaan, di sini, petang semalam, berakhir apabila mayatnya ditemukan pagi ini.
Mangsa Benny Chen Chun Hwa, 27, ditemukan pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10.30 pagi, pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi Honda WR-V miliknya ditemukan.
Ketua Zon Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba I Johari Dzulkiflie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 4.55 petang semalam.

Katanya, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi dan mendapati sebuah Honda WR-V terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam parit.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan dan kawasan sekitar bagaimanapun tidak menemukan mangsa.
“Pasukan bomba bersama polis kemudian menjalankan pencarian di sekitar lokasi, namun operasi ditangguhkan pada jam 8.10 malam atas arahan polis dan akan disambung sekiranya terdapat petunjuk baharu,” katanya.

Menurutnya, operasi SAR disambung pagi ini sebelum mangsa ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi kereta pada jam 10.30 pagi.
“Mangsa ditemukan tersangkut pada rumpun bambu di anak sungai Kampung Kawakaan, Inanam.
“Mayat mangsa kemudian dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi pencarian membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman sebuah kenderaan dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di laluan Jalan Pan Borneo ketika hujan lebat, petang semalam.
Rakaman pengguna jalan raya itu turut menunjukkan beberapa individu berada di lokasi bagi membantu, sebelum sebuah kren digunakan untuk mengangkat kenderaan terbabit keluar dari parit. – Info X