Search

Lelaki hilang selepas terjatuh sungai ketika tarik pasir

May 29, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Paka-Paka, di sini, semalam.

Mangsa Vinsensius Sare Tukan, 42, dipercayai terjatuh ke sungai kira-kira jam 6 petang ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada jam 8 pagi tadi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi pencarian dijalankan di lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh menggunakan teknik pencarian permukaan air (water surface search and rescue) serta pemeriksaan di sepanjang persisiran sungai.

“Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan,” katanya ketika dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebarang perkembangan berkaitan operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X