PENAMPANG: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas rumah yang didiami dihempap tanah runtuh di Kampung Sarapung, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa bersama seorang wanita dipercayai terperangkap namun seorang daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera lori dan sebuah bot penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mengikut maklumat awal, tanah runtuh berkenaan menghempap sebuah rumah.
“Seorang mangsa wanita berjaya diselamatkan orang awam, manakala seorang lagi masih hilang dan dipercayai tertimbus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan penyelamat berdepan kesukaran ke lokasi berikutan laluan terputus akibat runtuhan selain arus air deras.
“Identiti mangsa masih belum diperoleh dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) masih diteruskan.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X