Search

Lelaki Islam goda isteri orang di Sabah boleh didakwa – Arifin

January 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, lelaki Islam yang menggoda isteri orang di Sabah boleh didakwa di bawah undang-undang syariah negeri ini.

Katanya, perkara terbabit terpakai sejak sekian lama melibatkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini tiada kes lelaki Islam menggoda isteri orang dilaporkan berlaku di Sabah.

“Terdapat peruntukan undang-undang yang mengawal perbuatan gangguan orang ketiga terhadap rumah tangga di dalam Islam termasuklah seksyen 36, seksyen 37 dan seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

“Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di negeri-negeri, kesalahan mengganggu rumah tangga orang terbahagi kepada tiga komponen iaitu memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan suami isteri untuk hidup bersama serta menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

“Namun ketiga-tiga peruntukan yang terdapat dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan ini tidak diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.

“Kesemua kesalahan terbabit di Sabah dirangkumkan dalam satu seksyen ini sahaja.

“Menerusi enakmen ini, sudah dinyatakan sesiapa yang melarikan atau menyebabkan seseorang isteri orang lain meninggalkan rumah tangga yang ditentukan oleh suaminya adalah bersalah atas suatu kesalahan dan apabila disabitkan, lelaki Islam berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah berkata demikian ketika ditemui pada kunjungan hormat dan lawatan rasmi pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah, semalam.

Turut hadir Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman.

Mengulas lanjut, Mohd Arifin turut menyatakan Sabah juga mempunyai Undang-Undang Adat yang turut memperuntukan hukuman terhadap kesalahan perbuatan seorang lelaki memikat isteri orang. 

“Dalam Aturan 18 Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri) 1995 menyatakan sesiapa juapun yang memikat atau membawa pergi isteri orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat anak negeri dan boleh dikenakan ganti rugi atau sogit tidak melebihi tiga ekor ternakan atau barang-barang lain yang senilai dengannya mengikut denda adat.

“Sekiranya ingkar, pihak ketiga itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000 ataupenjara selama tempoh tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya,” katanya. – Info X