Search

Lelaki keluar memukat hilang dipercayai dibaham buaya

October 16, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya di dalam kejadian di Kampung Sungai Silabukan, di sini, semalam.

Mangsa Salim Sakka, 50, dikatakan menjalankan aktiviti memukat ikan di kawasan sungai berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan terdapat mangsa dipercayai dibaham buaya, jam 9.45 pagi.

Katanya, menurut anak mangsa, bapanya dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti memukat semalam.

Lokasi mangsa dipercayai dibaham buaya ketika memukat di Kampung Sungai Silabukan, Lahad Datu. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan bot penyelamat dengan kaedah ‘surface searching’ dengan radius pencarian dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Setakat ini mangsa belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR ditangguhkan kira-kira 6 petang tadi dan akan disambung semula pada pagi esok.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Hidupan Liar Sabah dan orang awam. – Info X