PAPAR: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas gagal pulang ke rumah sebaik keluar menjala ikan di sungai Kampung Benoni, di sini, hari ini.
Mangsa, Awang Husin Awang Hasan, 61, dipercayai keluar menjala ikan kira-kira jam 6 pagi dan kebiasaannya pulang sekitar jam 1 tengah hari.
Namun, sehingga lewat petang, mangsa masih belum pulang, menyebabkan ahli keluarga bimbang sebelum memulakan usaha mencarinya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 malam sebelum menggerakkan 10 anggota bersama jentera ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
Beliau berkata, menurut adik mangsa, mereka bersama beberapa penduduk kampung bertindak mencari mangsa di kawasan sungai selepas bimbang dengan kehilangannya.
“Hasil pencarian awal hanya menemui motosikal dan selipar dipercayai milik mangsa di tebing Sungai Benoni.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah Water Surface Searching bagi mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Beliau berkata, setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan dengan bantuan penduduk kampung.
Katanya, operasi akan diteruskan sehingga mangsa ditemui atau terdapat perkembangan baharu. – Info X