Search

Lelaki keluar menoreh getah tidak pulang, polis mohon bantuan kesan mangsa

March 22, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk ke kebun bagi menoreh getah di Kampung Masuit, Pitas, sejak 16 Mac lalu.

Mangsa Syivience Mogudal, 52, berbangsa Rungus, yang bekerja sebagai pekebun dan menetap di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 2 petang untuk ke kebun tanpa membawa telefon bimbit.

“Lazimnya, mangsa akan bermalam di rumah kebun selama beberapa hari, namun kali ini dia tidak pulang seperti kebiasaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 18 Mac lalu oleh ahli keluarga ketika mangsa berada di kebun dalam keadaan menebas semak dan menoreh getah sebelum beredar.

“Sehingga kini, mangsa masih belum pulang ke rumah walaupun usaha pencarian oleh ahli keluarga sudah dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta untuk tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Kerjasama dan keprihatinan orang ramai amat dihargai dalam usaha mengesan mangsa,” katanya. – Info X