KOTA KINABALU: Berang tidak mendapat wang sebanyak RM5 untuk membeli dadah, seorang penagih yang sedang khayal tergamak memukul ibu dan adiknya dengan kayu beruti dalam kejadian di sebuah rumah di Skim Penempatan Telipok, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, ibunya berusia 48 tahun luka di kepala manakala adik lelakinya berusia 17 tahun luka di bahagian siku tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian suspek dalam keadaan khayal meminta wang sebanyak RM5 kepada ibunya dipercayai untuk membeli dadah syabu.
Bagaimanapun katanya, ibunya hanya memberikan RM3 menyebabkan anaknya itu marah dan mengamuk.
“Suspek kemudian mengambil sebatang katu beruti dari atap rumah lalu melibas kepala mangsa (ibunya) hingga luka dan berdarah.
“Adik kandung suspek yang melihat situasi itu kemudian cuba menghalang perbuatan suspek, namun turut dipukul hingga luka di bahagian siku tangan kirinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, suspek kemudian bertindak melarikan diri dan membuang kayu beruti berkenaan di belakang rumahnya.
“Bagaimanapun suspek kemudiannya ditangkap oleh orang kampung dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sebelum ditahan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah.
“Siasatan mendapati suspek seorang penagih dadah dan sering mengamuk dan memukul ibunya namun laporan polis tidak pernah dibuat.
“Suspek tidak bekerja dan sering menagih dadah syabu. Suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah,” katanya.
Menurut Mohd Zaidi lagi, ujian air mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X