LAHAD DATU: Seorang maut manakala empat lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut di tempat kejadian adalah lelaki berusia 52 tahun yang tersepit dalam kereta Perodua Viva.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda bertembung.
“Terdapat lima mangsa berada di dalam kereta berkenaan dan seorang daripadanya tersepit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sumsoa berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.51 pagi,” katanya. – Info X