Search

Lelaki maut, adik melecur dalam kebakaran rumah

November 17, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki maut manakala adiknya melecur selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Batu Sapi Karamunting, di sini, pagi tadi.

Mangsa Jailan Jaimin, 35 yang mengalami strok ditemukan rentung oleh pasukan bomba di ruang tamu rumah berkenaan.

Adik lelaki mangsa berusia lingkungan 20-an, melecur di bahagian belakang badan manakala beberapa ahli keluarga yang lain sempat keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Foto/Bomba

Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Turut terbakar tiga kenderaan jenis lori 10 tan (80 peratus), Proton Saga (100 peratus) dan Nissan sedan (100 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran tiga pancutan dengan sumber air jentera.

“Hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa rentung yang ditemukan di kawasan ruang tamu rumah.

“Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa keluar dari lokasi kebakaran dan serah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah lagi, kebakaran berjaya dikawal jam 9.27 pagi dan api dipadamkan sepenuhnya jam 11.35 pagi.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X