Search

Lelaki maut dalam kebakaran kilang kitar semula, disyaki terkena renjatan elektrik

June 27, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian kebakaran sebuah kilang kitar semula di Simpang Durian Batu 2, Kampung Durian, di sini, petang tadi.

Mangsa, Muhammad Alpian Abdullah, disahkan meninggal dunia selepas diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 5.09 petang.

Katanya, seramai 21 anggota bersama lima jentera, iaitu Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), D-Max, Water Tanker dan Fire Rescue Vehicle (FRV), dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira enam minit kemudian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah kilang kitar semula jenis tidak kekal berukuran 50 x 100 kaki yang terbakar kira-kira 90 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan bagi setiap aliran, manakala bekalan air diperoleh daripada pili bomba berhampiran serta sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika kejadian sebelum diberi rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya.

Sumsoa, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.38 malam, namun operasi diteruskan dengan kerja-kerja memadam bara api dan overhaul bagi memastikan tiada punca kebakaran semula.

Beliau berkata, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X