Search

Lelaki maut dalam pergaduhan di Penampang

December 24, 2023

Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing maut selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 29 tahun ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dengan kesan tetakan dan tikaman di leher, kepala, tangan dan kaki mangsa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima aduan awam mengenai satu kejadian pergaduhan membabitkan beberapa individu lelaki dengan menggunakan senjata jenis parang, pada 4.44 pagi.

Mayat lelaki ditemui terbaring dengan beberapa kesan tetakan dan tikaman di badannya di tepi jalan berhadapan SMK Bahang, Penampang. – Foto/PDRM

“Hasil siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati satu lelaki warga asing terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tetakan dan tikaman pada badan mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, kes masih dalam siasatan pihak polis.

Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian mangsa lelaki ditetak dan ditikam hingga mati di tepi jalan berhadapan SMK Bahang, Penampang. – Foto/PDRM

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis juga meminta saksi-saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

“Orang awam boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Asisten Superintendan Polis Andi Ma’ Mur Halwati di talian 019-5853918,” katanya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton.

Sementara itu, Sammy berkata polis juga menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar di tempat kejadian dan memuat naik atau menyebarkan sebarang info yang tidak sahih di media sosial yang boleh mengundang kegusaran dan ketenteraman awam. – Info X