Search

Lelaki maut jatuh pokok ketika berburu

March 1, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari pokok ketika menjalankan aktiviti berburu di kawasan hutan Sapoda, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 44 tahun, dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum rakannya keluar dari kawasan hutan untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, bilik kawalan BBP Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 malam.

Katanya, sepasukan lima anggota kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 39 kilometer dari balai.

“Pasukan penyelamat berdepan kesukaran apabila laluan ke lokasi tidak boleh dilalui kenderaan.

“Keadaan itu memaksa mereka bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ranger Sapoda berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lelaki disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pokok ketika menjalankan aktiviti berburu di kawasan hutan Sapoda, Kota Belud.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba kemudian membawa keluar mangsa menggunakan ‘jungkin stretcher’ ke jalan utama sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang disertai polis, KKM, Ranger Sapoda dan 12 orang awam itu tamat sepenuhnya pada jam 10.56 malam,” katanya. – Info X